SEJARAH PENUBUHAN

Kolej Kemahiran tinggi MARA Sri Gading (KKTM Sri Gading) adalah salah satu institusi dibawah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Ia mula dibina pada tahun 2004 di atas tanah seluas 49.27 ekar dan mengambil masa kira-kira 4 tahun untuk siap sepenuhnya. Kedudukannya adalah kira-kira 20 kilometer dari Bandar Batu Pahat dan 5 kilometer dari Pekan Parit Raja.
Kolej ini siap dan mula beroperasi pada 15 Mei 2008 dengan pengambilan pelajar pertamanya seramai 93 orang iaitu dibuat pada bulan Julai 2008. Institusi ini menawarkan jurusan di peringkat Diploma Teknologi Pembinaan sepenuh masa dengan kapasiti maksima pelajar seramai 1440 orang. Ia terbuka kepada semua bumiputera khususnya lepasan SPM/STPM/, lepasan IKM MARA, lepasan IPT lain yang memiliki sijil tahap 3 dan Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3 (Politeknik, Kolej komuniti, YPJ dan lain-lain.
Organisasi KKTM Sri Gading dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar (KP HEP) dan Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA).
Bahagian Khidmatan Pengurusan adalah terdiri daripada staf-staf pentadbiran, manakala Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) terdiri daripada pensyarah teknikal, pensyarah bukan teknikal dan Pegawai Unit Peperiksaan. Bahagian Hal Ehwal Akademik juga merangkumi Jabatan Pengajian Am, Unit Peperiksaan dan Persijilan serta tujuh program iaitu program Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Sistem Termaju, Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Geo-structur, Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Forensik Bangunan dan Penyelenggaraan, Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Jalanraya dan Pengangkutan, Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Perkhidmatan Bagunan & Penyelenggaraan, Teknologi Kejuruteraan Bangunan Hijau dan Teknologi Kejuruteraan Pemodelan Maklumat Bangunan.